Jaguh Muay Thai Malaysia, Jordan Boy meraih tumpuan oleh warga Indonesia kerana kesopanan dan sikap merendah diri.
Jordan Boy atau nama sebenar Mohammed Bin Mahmoud ini dikenali sebagai atlet seni bela diri campuran (MMA) negara terutamanya dalam arena Muay Thai dan Kickboxing.
Penampilan Jordan Boy di pentas besar seperti di kejohanan ONE Championship pada tahun 2018 hingga 2020 membuka mata ramai pihak sebelum bersara setahun kemudian.
Menerusi satu video temu bual bersama Secangkir Hotto, Jordan Boy berkongsi perkembangan terkini dan persiapan bagi menghadapi Byom Combat pada penghujung November nanti.
”Perjalanan yang menyenangkan, saya bukan datang dari keluarga yang senang, jadi kami berlawan untuk wang dan mencari wang dari sukan Muay Thai,” ujar Jordan Boy.
”Ini semua piala kepunyaan saya tapi sekarang sudah tiga tahun bersara dan kini kembali serta mencari suasana yang baru.”
”Alhamdulillah, (persiapan) lancar dan ada sebulan lebih lagi (untuk berlatih).”
Tambah beliau, kemenangan sudah pasti diharapkan menjadi milik Malaysia namun itu merupakan adat bertanding dan tak mahu isu politik menggangu keharmonian kedua-dua negara.
”Sudah pasti saya mahu negara saya, Malaysia yang menang tapi kita tidak ada isu apa-apa, siapa menang atau kalah itu adat pertandingan,” kata Jordan Boy.
Hasil tinjauan di ruangan komen menyaksikan begitu ramai warga Indonesia yang kagum dan memuji sikap merendah diri yang ditampilkan oleh Jordan Boy tatkala menjawab pertanyaan itu.
”Sopan sungguh Jordan Boy, teruskan merendah diri,” tulis salah seorang warga Indonesia, Lee di ruangan komen.
”Sikap nombor satu, mantap bang Jordan,” kata Rais.
”Seorang yang merendah diri, semoga dipermudahkan Jordan Boy,” ujar Iwangss_Zr.
”Aku sokong Indonesia tapi kenapa yang lebih sopan (atlet) Malaysia ye?” tulis King Farrel.
”Saya suka kenyataan oleh Jordan Boy, tidak berniat untuk menyinggung hal politik. Salam dari Indonesia,” kata Apasih.
Byon Combat Showbiz Vol. 4 merupakan pentas pertarungan jaguh Muay Thai yang menampilkan 4 petarung dari Malaysia dan Indonesia di Jakarta pada 30 November hadapan.
Jaguh dari Malaysia dibarisi Dean Hamsah, Aisar Khaled, Putra Abdullah dan Jordan Boy manakala petarung dari Indonesia disertai Rudy Goldenboy, Fadly Faisal, Bernad ‘KKUngke’ Salasa dan Sereal Effendi.