Selepas mencuri tumpuan peminat bola sepak dengan menceburi dunia Muay Thai, Muslim Ahmad sekali lagi menarik perhatian ramai semalam.
Muslim berjaya memenangi pertarungan pertama Muay Thainya dengan mengatasi lawannya dari Perlis, Atingpek dalam aksi T-Fight 2.0 di Padang Serai, Kedah semalam.
Meskipun ini aksi pertamanya di gelanggang, atlet berusia 35 tahun itu mengatasi Atingpek dengan beberapa serangan padu menggunakan lutut.
Ini mengakibatkan lawannya itu rebah dan tidak mampu meneruskan perlawanan. Dan itu sudah cukup buat pengadil mengisytiharkan Muslim sebagai pemenang dengan TKO.
Muslim sebelum ini mengakui menceburi dunia Muay Thai bukan saja untuk meneroka sukan baru selain bola sepak.
Malah, sukan ini dilihat mampu memantapkan ketahanan dirinya sebelum kembali bergiat aktif dalam dunia bola sepak.
“Sebenarnya saya juga sudah biasa dengan sukan Muay Thai ini dan telah dikelilingi oleh orang-orang dari sukan ini juga sejak dari kecil, jadi saya dah ada sedikit asas.
“Tetapi saya tidaklah cakap saya secara rasmi dah bersara dalam bola sepak. Cumanya sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.
“Dan sambil menunggu, sebab itu saya ingin mencuba sukan Muay Thai. Dan bagus juga untuk saya sebab dapat tahu lebih dekat tentang sukan ini.
“Saya pun tak tahu berapa jauh saya boleh pergi dalam sukan ini. Tapi untuk kali pertama ini, saya dah berlatih dalam tujuh hari, agak mencabar juga tapi saya cubalah,” katanya.
Muslim pernah mewakili Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Terengganu FC, PDRM FC, Kelantan FC dan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau juga pernah mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa dari 2009 hingga 2015.