Advertisement
Well Pereira: Di Selangor, Pemain Hanya Fikirkan Trofi
UltraSukan
UltraSukan
Selangor FC Futsal

Pemain import Selangor, Well Pereira berkongsi mentaliti pasukannya yang hanya memikirkan trofi dan kemenangan.

Well menyertai Selangor dari Shah Alam City pada Disember lalu dan telah membawa impak besar dengan meledak 15 gol dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024.

Menurut Well, sejak tiba di Selangor, beliau sudah mengenali sedikit sebanyak mengenai skuad futsal Merah Kuning ini kerana mereka pernah bertemu pada musim sebelumnya.

”Semenjak saya sampai ke sini (Selangor), saya sudah tahu serba sedikit kerana saya pernah berdepan mereka musim lalu, katanya dalam satu hantaran video oleh Selangor FC Futsal.

Beliau berkata, Selangor dikenali sebagai pasukan yang miliki struktur yang bagus bagi membantu pemain-pemain berasa selesa untuk bermain dengan tenang.

“Jadi, saya tahu pasukan ini mempunyai struktur bagus yang membuatkan kami berasa selesa untuk bekerja dan bermain,” ujar Well atau nama sebenarnya Wellington Pereira Rodrigues Adao.

Tambah beliau, di Selangor, para pemain memiliki pemikiran untuk sentiasa mengejar kemenangan dan membawa pulang kejuaraan meskipun berdepan rintangan yang tidak diketahui ramai.

”Sudah tentu kami selalu memikirkan tentang kemenangan dan meraih trofi namun kadangkala orang di luar sana tidak fikir mengenai kesusahan yang kita hadapi.”

“Kami menghadapi begitu banyak rintangan tetapi saya fikir saya mampu hadapinya bersama pemain dan semua yang berada di sini.”

Di akhir video, Well Pereira dengan sebak mengumumkan selamat tinggal buat Selangor dan mengucapkan selamat maju jaya untuk skuad kendalian Edgar Baldasso ini.

Difahamkan juga, destinasi seterusnya Well Pereira adalah ke Indonesia namun identiti kelab baharu beliau masih belum didedahkan sehingga ke hari ini.