Wellington Phoenix Mahu Sambung Kontrak Bintang JDT
MakanBola
WPFC/JST

Kelab Liga Australia, Wellington Phoenix menyatakan minat bagi menyambung kontrak pinjaman tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Francisco Geraldes.

Geraldes menyertai Wellington Phoenix pada 12 Februari lalu secara pinjaman dan berjaya merekodkan satu jaringan serta satu bantuan gol dalam 5 penampilan bersama kelab itu di A-League.

Ad

Malangnya, Geraldes terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal setelah disahkan mengalami kecederaan serius di lutut kiri yang memaksa pemain tengah ini disisihkan hampir 3 bulan.

Ad

Sungguhpun begitu, jurulatih Wellington Phoenix, Giancarlo Italiano merasakan keberadaan Geraldes bakal memberikan satu tambahan luar biasa buat pasukan beliau serta saingan liga.

“Saya rasa dia (Francisco Geraldes) akan menjadi tambahan yang hebat, bukan sahaja buat skuad kami tetapi juga untuk A-League secara keseluruhan,” ujar Giancarlo Italiano dalam satu kenyataan kelab.

Ad

Malah, keupayaan yang dimiliki oleh pemain pinjaman JDT ini juga dipandang tinggi malah membuatkan Italiano berhasrat untuk mendapatkan khidmat Geraldes pada musim hadapan.

Ad

“Awak boleh lihat kemahiran yang Geraldes ada. Dia seorang penggelecek bola yang hebat, tenang ketika mengawal bola, tidak takut untuk mencabar pemain lawan, dan dia juga boleh menjaringkan gol.”

Ad

“Saya memang ingin dia bersama kami tahun depan. Saya rasa dia akan jadi aset yang bagus,” jelas jurulatih kelahiran Itali itu.

Italiano bagaimanapun sedar bukan tugas yang mudah untuk merekrut Geraldes daripada pasukan JDT namun niat beliau jelas mahu berusaha ke arah tersebut sekiranya pihak kelab mampu.

“Jika kami boleh merealisasikannya, kami akan usahakan, tetapi malangnya ia bukan sesuatu yang mudah.”

“Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, namun niat saya adalah jika saya boleh jadikannya kenyataan, saya akan lakukannya.”

Untuk rekod, Geraldes tiba di JDT pada Januari 2024 namun berdepan persaingan sengit untuk menembusi skuad utama dan hanya mencatatkan 426 minit permainan bersama juara Liga Super itu.

Sebelum ini juga Geraldes sempat dipinjamkan ke kelab Liga divisyen 2 Sepanyol, CD Eldense pada Ogos 2024 sehingga Februari 2025 sebelum menyertai Wellington Phoenix di Liga Australia.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments