Tonggak import Johor Darul Ta’zim (JDT), Francisco Geraldes berhijrah ke New Zealand untuk menyertai kelab Wellington Phoenix.
Perpindahan pinjaman bekas pemain tengah Sporting Lisbon itu diumumkan The Nix menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.
“Wellington Phoenix telah memuktamadkan satu perpindahan utama pada hari terakhir tetingkap perpindahan Isuzu UTE A-League.
“The Phoenix telah mendapatkan pemain tengah menyerang Portugal, Francisco “Chico” Geraldes secara pinjaman untuk baki musim 2024/25,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ketua jurulatih Phoenix, Giancarlo Italiano menyifatkan pasukan itu cukup bertuah untuk mendapatkan khidmat Geraldes.
“Dari segi kualiti, beliau memiliki kualiti melebihi ciri pemain saya fikir kita boelh dapatkan dalam tetingkap kali ini,” katanya.
“Kehadiran Chico yang kita perlukan. Beliau seorang pemain perancang yang kreatif. Beliau boleh bermain sebagai pemain nombor lapan atau 10 tetapi beliau lebih berkesan beraksi di posisi yang lebih menyerang.”
Sebelum ini, bekas pemain tengah FC Baniyas itu menghabiskan tempoh pinjaman bersama kelab Sepanyol, Eldense.
Geraldes dijangka memakai jersi nombor 12. Sekiranya semuanya berjalan lancar, beliau bakal diturunkan dalam aksi A-League menentang Auckland FC pada 22 Februari.