Pengendali Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Mano Polking memaklumkan pasukan itu tidak akan bermain dengan corak bertahan bila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kenyataan tegas itu dibuat jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu menjelang aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup pada 19 November ini.
Polking mengakui juara Liga Super 12 kali itu memiliki kelebihan kerana memiliki ramai pemain berkualiti.
Pada masa sama, bekas jurulatih Thailand itu mengingatkan bahawa CAHN beraksi di gelanggang sendiri untuk aksi tersebut.
Selain faktor gelanggang sendiri, Polking juga yakin dengan corak permainan yang ditampilkan kelab itu. Beliau percaya dua faktor ini mampu memacu CAHN untuk meraih kemenangan.
“Kami telah menyaksikan perlawanan mereka dan menghormati pihak lawan. Namun begitu, apabila kami dapat kembali beraksi di laman sendiri dengan sokongan para peminat, kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan kami.
“Pasukan ini akan menghadapi perlawanan tersebut dengan berhati-hati dan menyusun taktik secara strategik.
“Namun begitu, kita tetap teguh dengan gaya permainan sedia ada yang berteraskan kawalan bola demi meraih kemenangan,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.
Kedua-dua pasukan berharap dapat meraih kemenangan kedua bila bertemu di Stadium Hang Day. Terdahulu, JDT dan CAHN masing-masing telah menewaskan PKR Svay Rieng dan Lion City Sailors (LCS).


