Pemain perseorangan China, Weng Hong Yang mengakui persiapan sedikit terganggu apabila tidak dapat beraksi menentang jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia di final Badminton Asia Team Championship (BATC) 2024.
Pemain berusia 25 tahun itu ditemui media selepas perlawanan dan klip temu bual itu telah dikongsikan pengguna X yang dikenali sebagai ‘mai’ beserta terjemahan di kapsyen.
Hong Yang berkongsi bahawa persediaan saat akhir terpaksa dilakukan setelah mengetahui Malaysia tidak menurunkan Lee Zii Jia, sebaliknya Leong Jun Hao yang beraksi sebagai pemain perseorangan pertama.
“Pada mulanya saya membuat banyak persiapan untuk berdepan dengan Lee Zii Jia, tetapi kemudian pihak lawan berubah jadi saya membuat persiapan saat akhir untuk berdepan dengannya (Leong Jun Hao),” katanya kepada media.
Tambahnya lagi, beliau lega berjaya meraih kemenangan penting yang dapat memberikan semangat buat rakan sepasukan lain yang bakal turun selepas itu.
“Saya berasa lega, saya juga memberi semangat dan keyakinan kepada rakan sepasukan saya,” tambah pemain di ranking ke-16 dunia itu.
Mengulas mengenai perlawanannya bertemu Leong Jun Hao, beliau memuji Jun Hao yang bermain sangat baik dan gembira berjaya menyumbang mata pertama buat China.
“Kami berdua bermain dengan sangat baik hari ini, dan saya boleh menahan tekanan dan memenangi mata pertama jadi saya berasa sangat gembira,” ujar juara Terbuka Denmark 2023 itu.
Pada aksi final tersebut, China memusnahkan hasrat Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan BATC apabila menumpaskan skuad negara 3-0 menerusi kemenangan Weng Hong Yang, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dan Lei Lan Xi.