Pemain baharu Kuching City FC, Dylan Wenzel-Halls mengakui tidak sabar membantu Kuching City tampil lebih cemerlang musim ini.
Pemain Australia berusia 28 tahun itu menjadi rekrut kedua The Cats selepas pemain tengah kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor. Nazmi menyertai kelab secara pinjaman semusim dengan Wenzel-Halls pula berpindah sebagai pemain tetap.
Mereka disertai bekas pemain pertahanan Melaka FC, Irfan Zakaria. Seperti bekas pemain Penang FC itu, Irfan menyertai The Cats sebagai ejen bebas.
Sebaik selesai melengkapkan perpindahan ke Kuching, Wenzel-Halls tidak sabar membantu pasukan itu bersaing bukan saja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat Asia dan ASEAN.
“Saya tak sabar bertemu dengan semua orang di Stadium Sarawak. Kita ada musim yang besar di hadapan, bersaing dalam Liga Super, Liga Juara-Juara AFC 2 dan Shopee Cup menentang antara pasukan terbaik di Asia.
“Saya tak sabar bertemu anda semua tidak lama lagi. Mari jadikan musim ini satu musim yang istimewa bersama,” katanya di Instagram.
Sebaik hantaran itu dimuat naik di Instagram, ramai rakan pemain termasuk dari Australia dan pasukan lamanya, Penang mengucapkan selamat berjaya kepada Wenzel-Halls.
Antara yang berbuat demikian ialah pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Brad Tapp, kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco dan pemain Penang, OJ Porteria.
Pengurusan Kuching City berharap Wenzel-Halls bukan saja menyumbang dari segi sumbangan gol. Malah, pengalamannya sebagai pemenang Piala AFC dilihat berguna buat anak buah Aidil Sharin Sahak itu.