Advertisement
Willian Lira Kekal Berbisa Di Thailand
Asia Tenggara
MakanBola
Chonburi FC

Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC, Willian Lira terus membuktikan dirinya kekal berbisa dengan menyumbat dua gol untuk Chonburi pada perlawanan pertama Thai League 1 baru-baru ini.

Diturunkan dalam perlawanan menentang Trat pada 13 Ogos lalu, Lira dan Chonburi ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi dua gol Nattawut Sombatyotha pada minit ke-11 dan 38.

Namun begitu, bekas penyerang Sang Kenari itu membuktikan keupayaannya dengan menyumbat dua gol pada minit ke-54 dan 65. Keputusan itu meletakkan The Sharks pada kedudukan keenam liga.

Lira menyertai Chonburi sebagai ejen bebas selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC secara persetujuan bersama pada pertengahan Jun lalu.

Sepanjang bersama Sang Kenari, penyerang Brazil itu sudah menjaringkan lapan gol dan dua bantuan gol dalam 14 perlawanan.

Biarpun Kedah Darul Aman FC kini lebih berbisa dengan penggantinya, Ifedayo Olusegun, jasa Lira terhadap pasukan di utara tanah air itu tidak akan dilupakan oleh penyokong.