Regu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menghidupkan peluang layak ke separuh akhir World Tour Finals (WTF) 2023.
Ini selepas regu nombor lapan dunia itu mengatasi regu Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino dalam perlawanan kedua Kumpulan A kategori regu campuran.
Di atas kertas, Watanabe-Higashino dianggap pilihan disebabkan mereka berstatus regu nombor dua dunia. Selain itu, mereka juga pernah mengatasi Tang Jie-Ee Wei dalam dua pertemuan sebelumnya.
Dominasi juara Terbuka Jepun itu terserlah dalam set pertama. Watanabe-Higashino memiliki kelebihan besar ke atas lawan mereka pada kedudukan 11-5.
Biarpun cuba dikejar oleh Tang Jie-Ee Wei, regu Jepun itu kekal unggul sebelum menang dengan keputusan 21-12.
Set kedua menyaksikan juara Terbuka Taipei 2023 itu meraih kelebihan awal pada kedudukan 8-5.
Kem negara kemudiannya cemas apabila Ee Wei terpaksa mendapatkan bantuan pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan pada bahagian bahu.
Itu langsung tidak mengugat fokus Tang Jie dan Ee Wei di mana mereka mengungguli set kedua dengan keputusan 21-16. Ini memaksa perlawanan diheret ke rubber set.
Set ketiga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih kelebihan besar pada kedudukan 11-8 susulan kesilapan mudah yang dilakukan Watanabe-Higashino.
Regu utama Jepun itu berusaha memberi tentangan sengit tetapi regu nombor lapan dunia itu meraih kemenangan dengan keputusan 21-16.
Tang Jie-Ee Wei berpeluang mara ke separuh akhir dengan syarat mengatasi regu campuran Thailand, Decahpol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai esok.