Advertisements
World Tour Finals: Regu Nombor Satu Dunia Tunjukkan Aaron Chia & Wooi Yik Jalan Keluar
Badminton
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada World Tour Finals (WTF) 2023.

Ini selepas mereka terpaksa akur dengan kehebatan regu nombor satu China, Wang Chang dan Liang Weikeng dalam aksi ketiga Kumpulan A kategori beregu lelaki.

Perlawanan hari ini bukan saja misi wajib menang bagi Aaron dan Wooi Yik. Ini kerana jika mereka gagal menewaskan Chang-Weikeng secara straight set, mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada WTF 2023.

Dari segi rekod pertemuan, regu nombor satu dunia itu memiliki kelebihan kerana pernah mengatasi Aaron-Wooi Yik lima kali dalam enam pertemuan sebelumnya.

Kelebihan ini cuba dimanfaatkan Chang-Weikeng pada set pertama. Pada awalnya, mereka berjaya meninggalkan Aaron-Wooi Yik pada kedudukan 6-1.

Bagaimanapun, juara dunia regu lelaki 2022 itu berjaya mengejar sebelum mengungguli set pertama dengan keputusan 21-18.

Set kedua menyaksikan Chang-Weikeng meraih kelebihan pada kedudukan 11-8. Juara Terbuka China 2023 itu menamatkan sisa harapan Aaron-Wooi Yik dengan meraih kemenangan 21-14.

Perlawanan kemudiannya diheret ke rubber set bagi menentukan pemenang. Set ketiga menyaksikan Chang-Weikeng makin dominan dibantu dengan sorakan penyokong China.

Dan itu sudah cukup untuk mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-12.

Kini, cabaran negara digalas oleh regu campuran Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Mereka bakal beraksi dalam perlawanan ketiga regu campuran Kumpulan A pada malam ini.