Pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen menamatkan kalendar tahun 2023 dengan trofi kejohanan BWF yang ketujuh selepas bergelar juara World Tour Finals (WTF) 2023.
Axelsen berjaya melakukannya selepas mengatasi cabaran pemain perseorangan China, Shi Yuqi di pentas final WTF 2023.
Dari segi rekod pertemuan, pemain Denmark itu berjaya mengatasi Yuqi lapan kali daripada 10 rekod pertemuan termasuk final Japan Masters 2023.
Bagaimanapun, pemain nombor tujuh dunia itu berjaya mengatasi Axelsen dalam aksi pertama Kumpulan A kategori perseorangan lelaki pada 13 Disember lalu.
Set pertama menyaksikan keazaman Axelsen mahu memastikan kekalahan pada Rabu lalu tidak berulang kembali.
Pemain nombor satu dunia itu membuktikan keampuhannya di gelanggang dengan meraih kelebihan besar pada kedudukan 14-10. Kelebihan itu terus dipertahankan Axelsen sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-11.
Set kedua menyaksikan Yuqi cuba memberi tentangan dengan mendahului pada kedudukan 5-4. Itu langsung tidak menjejaskan ketenangan Axelsen yang kemudiannya mendahului pada kedudukan 16-9.
Permainan jaring jaguh Denmark itu dan kesilapan mudah yang dilakukan Yuqi memastikan set kedua menjadi miliknya dengan keputusan 21-12.
Ini gelaran juara kejohanan BWF yang ketujuh yang dimenangi Axelsen untuk musim 2023. Selain itu, ini juga gelaran juara WTF yang dimenangi beliau sejak memenanginya buat kali pertama pada 2021.