Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son memberi bayangan mahu membalas dendam terhadap Harimau Malaya.
Hasrat itu dizahirkan penyerang berdarah Brazil berusia 28 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram Story beliau baru-baru ini.
Xuan Son hanya meletakkan tarikh 31 Mac 2026 dalam hantaran tersebut tanpa mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Tarikh tersebut merujuk kepada perlawanan terakhir Kumpulan F membabitkan Malaysia dan Pahlawan Bintang Emas.
Selepas menentang skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Vietnam berharap dapat menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan.
Malaysia menewaskan Vietnam 4-0. Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools mencetak nama sebagai penjaring.
Xuan Son terlepas aksi menentang Harimau Malaya kerana masih menjalani pemulihan kecederaan patah kaki yang dialami ketika aksi final ASEAN Championship 2024.
Selepas diberi peluang membuat penampilan pertama dalam kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu, beliau telah meledakkan tujuh gol buat Vietnam.
Xuan Son bukan saja membantu Vietnam muncul juara kejohanan. Malah, penyerang Thep Xanh Nam Dinh itu turut menjadi penjaring terbanyak dengan tujuh gol.