Yusoff Mahadi: Bola Sepak Malaysia Perlukan Tunku Ismail
MakanBola
Instagram / @hrhcrownprinceofjohor

Bekas Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa jawatan presiden badan induk itu bukan sekadar simbol, tetapi satu amanah besar yang perlu dipikul oleh individu yang benar-benar cintakan bola sepak.

Menurut beliau, sesiapa sahaja yang mahu menggalas tanggungjawab sebagai Presiden FAM tidak boleh bersikap try and error, sebaliknya mereka perlu hadir dengan pelan yang jelas, hala tuju tersusun serta kefahaman menyeluruh terhadap ekosistem bola sepak negara.

Mengulas mengenai calon-calon yang sering dikaitkan, beliau berpandangan bahawa walaupun ramai tokoh korporat dan ahli politik menunjukkan minat, realitinya bukan semua mampu bertahan dalam tekanan sebenar jawatan tersebut.

“Dalam konteks korporat, persoalan utama adalah keupayaan membina hubungan strategik dengan kerajaan dan kementerian berkaitan, selain kesanggupan untuk berkorban dari segi kewangan.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, timbul persoalan sama ada mereka mampu menarik penajaan berterusan untuk menyokong visi besar pembangunan bola sepak negara.

“Jika dilihat dari sudut politik pula, ketidakstabilan landskap politik Malaysia turut menimbulkan risiko besar. Perubahan kerajaan boleh memberi kesan kepada kesinambungan dasar dan hala tuju organisasi sukan di peringkat tertinggi.

“Bila kita bicara soal wang ringgit dalam bola sepak, semua orang boleh melontarkan idea. Tetapi hakikatnya, bola sepak moden melibatkan kos yang sangat besar dan berulang setiap tahun… jutaan ringgit diperlukan secara konsisten.

“Kita bukan negara Barat yang mempunyai ekosistem komersial seperti industri perjudian dan alkohol yang banyak menyokong bola sepak. Realitinya, kita memerlukan individu yang benar-benar berpengaruh serta mampu membuka ruang kewangan dan jaringan yang luas,” ujarnya.

Dalam konteks itu, Yusoff memberitahu, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dilihat sebagai figura yang konsisten dan relatif ‘kebal’ daripada pengaruh politik mahupun korporat.

Malahan, beliau menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan ekonomi, Pemangku Sultan Johor itu kekal komited dan tidak pernah meninggalkan dunia bola sepak.

“Dalam era media social, ditambah pula dengan perkembangan teknologi seperti AI, kritikan dan tohmahan daripada netizen adalah satu norma baharu. Mana-mana individu yang terpilih sebagai Presiden FAM perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi, tidak mudah goyah, dan tidak ‘koyak’ apabila berdepan tekanan berterusan.

“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan tersebut, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta restu daripada baginda. Sejarah telah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh-tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Namun hakikatnya, tanpa sokongan daripada figura yang mempunyai pengaruh besar dalam ekosistem bola sepak negara, perjalanan menuju kejayaan pasti akan menjadi lebih berliku.

“Itulah realiti bola sepak moden. bukan sekadar tentang jawatan, tetapi tentang kekuatan, jaringan dan keupayaan untuk menggerakkan seluruh sistem ke hadapan. Fikir-fikirkanlah,” jelas Yusoff.