Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad menggesa penyokong untuk terus menyokong Harimau Malaya.
Gesaan itu dibuat beliau selepas menonton perlawanan Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup antara Malaysia dan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
Zainal Rashid mengakui arena bola sepak Malaysia berada di titik terendah susulan pelbagai krisis termasuk isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada masa sama, beliau melihat barisan pemain Harimau Malaya harus disokong kerana mereka berjuang demi negara di atas padang.
“Bola sepak Malaysia memang berada pada titik terendah dengan krisis yang melanda; menghilangkan keyakinan kita semua pada FAM. Tapi Harimau Malaya yang berjuang di padang tidak wajar dihukum dan dibiarkan bersendirian tanpa ekornya.
“Empat gol dan tiga mata penuh diraih di Stadium KLFA, Cheras dalam Piala Asean 2026 malam tadi. Ia bukan piala besar seperti Piala Asia. Tapi tiap detik tatkala rebah; harus ada saat harimau dibantu untuk mengaum kembali.
“Untuk bangkit perlu ada titik mulanya; apatah lagi ketika Harimau Malaya beraksi dalam suasana titik terendah akibat krisis intergriti yang melanda FAM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zainal Rashid turut memuji impak semua pemain dalam perlawanan itu termasuk kapten, Paulo Josue, pemain Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh.
Malaysia kini akan bertandang ke Thailand untuk aksi ketiga kumpulan pada 1 Ogos ini.