Advertisements
Zhafri Yahya Antara 4 Pemain Menanti Kaps Sulung Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Tonggak tengah Harimau Malaya, Zhafri Yahya antara empat pemain yang sedang menanti bagi melakukan penampilan sulung buat pasukan kebangsaan.

Pengendali negara, Pau Marti Vicente memanggil seramai 26 pemain bagi menghadapi 2 aksi persahabatan bertemu Laos dan India pada Jendela Antarabangsa FIFA bulan November ini.

Walau bagaimanapun, 3 pemain tersebut terpaksa disisihkan iaitu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Romel Morales serta pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal akibat kecederaan.

Oleh itu, Pau Marti dengan segera membawa Zhafri Yahya, Fazrul Amir dan Fergus Tierney bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh tiga pemain tersebut di kem latihan ketika ini.

Nama Zhafri antara yang meniti di bibir peminat bola sepak tempatan apabila sering dipanggil oleh skuad negara namun masih belum mendapat peluang untuk turun beraksi bersama Harimau Malaya.

Kali terakhir Zhafri menyertai kem kebangsaan adalah pada September bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka yang lalu namun sekadar memanaskan bangku simpanan.

Selain Zhafri, tiga lagi muka baharu yang dipanggil antaranya Fazrul Amir, Fergus Tierney serta Ubaidullah Shamsul turut berpeluang meraih kaps pertama bersama skuad negara.

Fazrul Amir telah mencatat 13 penampilan musim ini bersama Kelantan DN dan menyumbat 1 gol sementara Fergus Tierney yang beraksi untuk Chonburi di Thailand terlibat dalam dua jaringan.

Manakala, Ubaidullah turut melakar nama sebagai penjaring buat Terengganu sebanyak 1 kali musim ini ketika berdepan Penang serta merekodkan 13 penampilan untuk Sang Penyu.

Malaysia bakal bertemu Laos dalam aksi persahabatan pada 14 November ini di Thailand sebelum turun menentang India empat hari kemudian di Hyderabad.