Perancis tampil mengganas ketika mengalahkan Brazil dalam aksi persahabatan pada awal pagi Jumaat meskipun terpaksa bermain dengan 10 orang pemain.
Kedua-dua jaguh dunia ini turun dalam aksi persahabatan di US sebelum akhirnya Perancis menoktahkan kemenangan 2-1 walaupun kehilangan pemain pertahanan akibat kad merah di awal babak kedua.
Kylian Mbappe meletakkan Perancis di hadapan seawal minit ke-32 selepas bijak menyudahkan lorongan cantik Ousmane Dembele dan menewaskan Allisson Becker di pintu gol Brazil.
Babak kedua bersambung dengan cukup malang buat juara Piala Dunia 2018 itu apabila bek tengah, Dayot Upamecano dilayangkan kad merah akibat menarik Mathues Cunha pada minit ke-55.
Kad merah itu tidak menghalang Perancis untuk menambah jaringan kedua selang 10 minit kemudian selepas penyerang Liverpool, Hugo Ekitike mencatatkan nama selaku penjaring.
Brazil yang dikemudi oleh Carlo Ancelotti berjaya menyumbat gol saguhati pada minit ke-78 hasil tampanan cantik Bremer, namun jaringan itu tidak mampu untuk mengubah keputusan akhir.
Kemenangan di Stadium Gillette akhirnya memihak Perancis 2-1 dengan Les Blues bakal menentang Colombia bagi aksi seterusnya pada 30 Mac tatkala Brazil akan bertemu Croatia pada 1 April ini.