Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berdepan masalah tatkala kelab itu berusaha menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim 2003/2004.
Ini kerana Daily Mail melaporkan 11 pemain pasukan itu terpaksa menarik diri daripada tugasan pasukan kebangsaan masing-masing akibat kecederaan.
Pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi menjadi pemain terbaru dalam senarai berkenaan. Bekas pemain Real Sociedad itu cedera dalam aksi persahabatan Sepanyol menentang Serbia baru-baru ini.
Keputusan ini menyaksikan Zubimendi terpaksa melupakan aksi persahabatan menentang Mesir bagi membantu rawatan kecederaan lutut.
Selain Zubimendi, Martin Odegaard, Declan Rice, Noni Madueke, Piero Hincapie, William Saliba, Gabriel, Leandro Trossard, Eberichi Eze, Bukayo Saka dan Jurrien Timber juga berdepan masalah kecederaan.
Hal ini dijangka memaksa Arteta membuat perubahan taktikal tatkala Arsenal memburu tiga kejuaraan musim ini.
Selain EPL, Arsenal masih bersaing di peringkat suku akhir The Emirates FA Cup dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Arsenal akan menghadapi tentangan Southampton untuk suku akhir The Emirates FA Cup pada 5 April. Ini disusuli aksi suku akhir pertama UCL menentang Sporting Lisbon pada 8 April.