Malaysia bakal mendapat sokongan padu lebih 15,000 ‘Ekor’ Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Filipina pada 8 Ogos ini.
Perkara ini berlaku kerana perlawanan ini bukan saja bakal menentukan sama ada skuad negara mendapat tiket separuh akhir kejohanan sebagai naib juara Kumpulan B atau tidak.
Di samping itu, perlawanan ini juga memberi peluang kepada anak buah Tan Cheng Hoe untuk kembali berada di landasan kemenangan. Selepas meraih dua kemenangan dalam Kumpulan B, rentak kemenangan Harimau Malaya disekat Thailand pada 1 Ogos lalu.
Lantas, kehadiran ‘Ekor’ Harimau Malaya cukup ditagih untuk membantu Malaysia mengatasi Filipina yang berstatus pasukan ke-135 dunia.
Selain menyemarakkan semangat pemain yang beraksi di atas padang, ini menunjukkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam mendukung wakil negara di peringkat antarabangsa.
Hal ini terbukti dengan kehadiran 10,044 orang untuk aksi Malaysia menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 Julai lalu.
Kehadiran penyokong yang ramai pada ketika itu meskipun hari perlawanan jatuh pada hari bekerja menunjukkan semangat ‘Ekor’ Harimau Malaya bersama pemain tidak pernah luntur.
Angka tersebut dijangka mampu diatasi menjelang perlawanan Malaysia menentang Filipina. Peruntukan tiket untuk penyokong Harimau Malaya untuk aksi berkenaan sudah habis dijual.
Perkara ini disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat. Memandangkan hari perlawanan berlangsung pada hujung minggu, bilangan penyokong yang hadir juga akan bertambah.
Anak buah Cheng Hoe memburu kemenangan ketiga agar dapat mengiringi juara kumpulan, Thailand ke separuh akhir. Kapten, Paulo Josue muncul penjaring terbanyak Harimau Malaya dengan tiga gol setakat ini.