Aksi kedua Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup antara Malaysia dan Laos dipenuhi dengan ‘Ekor’ Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kehadiran penyokong cukup memberangsangkan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira faktor perlawanan berlangsung pada hari bekerja.
Aksi kedua Kumpulan B ini menyaksikan 10,044 orang hadir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Penyokong yang hadir puas apabila menyaksikan Harimau Malaya membelasah Laos 4-0.
Kapten skuad negara, Paulo Josue membuka tirai jaringan pada minit ke-45. Pemain baharu Star City FC, Endrick dos Santos menggandakan kelebihan Harimau Malaya pada minit ke-57.
Pemain Laos, Viengxay Sydavong bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66. Perkara itu berlaku selepas beliau tertolak bola hantaran Mohamadou Sumareh masuk ke gawang sendiri.
Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya dengan gol keempat pada minit ke-84. Gol itu juga merupakan gol pertama Kuzain bersama skuad kebangsaan.
Kehadiran ‘Ekor’ Harimau Malaya untuk aksi ini menunjukkan sokongan padu peminat terhadap skuad negara tidak pernah luntur meskipun dilanda pelbagai isu.
Hal ini turut menunjukkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia untuk terus mendukung skuad negara agar tampil cemerlang di atas padang.
Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan enam mata. Kini, fokus anak buah Tan Cheng Hoe beralih kepada aksi sukar menentang musuh tradisi, Thailand pada 1 Ogos ini.