Harimau Malaya

Senarai 24 Pemain Harimau Malaya Ke China, Tiada Pemain JDT

Malaysia Harimau Malaya 3 1 Senarai 24 Pemain Harimau Malaya Ke China, Tiada Pemain JDT
Malaysia NT
Advertisements

Wajah skuad Harimau Malaya berubah hampir separuh apabila 24 nama diumumkan untuk misi di tanah besar China bulan ini dengan tiada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima panggilan.

Skuad kebangsaan dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 FIFA di China. Aksi pertama menentang tuan rumah, China berlangsung pada 14 November jam 8 malam, sebelum bertemu Yaman pada 17 November jam 2 petang.

Berdasarkan ranking FIFA terkini, China berada di tangga ke-96 dunia, Malaysia ke-133 dan Yaman ke-144, dengan pertemuan terakhir Malaysia dan China di Chengdu pada September 2023 berakhir seri 1-1.

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menamakan tiga penjaga gol iaitu Sikh Izhan (Selangor), Haziq Nadzli dan Haziq Aiman (Kuching City). Posisi bahagian pertahanan pula, lapan pemain dipanggil iaitu Quentin Cheng, Harith Haiqal dan Zikri Khalili (Selangor), Rodney Celvin Akmensivie (Kuching City), Azam Azmi dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu), Dion Cools (Cerezo Osaka) serta Daniel Ting (Ratchaburi).

Bahagian tengah menyaksikan pengendali sementara skuad negara itu menyenaraikan lima pemain iaitu Nooa Laine dan Syahir Bashah (Selangor), Ryan Lambert (Kuching City), Endrik Dos Santos (Star City) serta Haziq Kutty (Terengganu).

Barisan serangan pula dibarisi lapan pemain handalan iaitu A. Selvan (Selangor), Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah (Kuching City), Pavithran Gunalan dan Romel Morales (Terengganu), Paulo Josue (KL City), Richard Li Hua Chin (Ross County) serta Fergus Tierney (Omonia).

Secara keseluruhan, Selangor menjadi penyumbang terbesar dengan tujuh pemain, diikuti Kuching City (enam) dan Terengganu (lima).

Berbanding skuad yang beraksi di Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia dari 25 September hingga 5 Oktober lalu, seramai 13 pemain baharu tersenarai kali ini.

Kuching City menyumbang lima muka baharu iaitu Haziq Aiman, Rodney Celvin, Ryan Lambert, Safawi dan Ramadhan, manakala Selangor (Sikh Izhan, Zikri Khalili, A. Selvan) serta Terengganu (Azam Azmi, Haziq Kutty, Romel Morales) masing-masing menyumbang tiga. Dua lagi nama baharu ialah Endrik Dos Santos dan Richard Li Hua Chin.

Antara kepulangan yang menarik perhatian ialah penyerang naturalisasi Terengganu, Romel Morales yang sebelum ini tersenarai dalam skuad asal ke Piala ASEAN FIFA, namun terpaksa digantikan akibat kecederaan.

Penyerang Kuching City, Safawi pula kembali menyarung jersi kebangsaan, manakala kehadiran pemain Ross County menambah bilangan pemain yang beraksi di luar negara kepada empat orang bersama Dion Cools, Daniel Ting dan Fergus Tierney.

Dalam pada itu, seramai 12 pemain dari skuad Piala ASEAN FIFA terlepas panggilan kali ini, sembilan daripadanya milik Johor Darul Ta’zim (JDT). Di posisi penjaga gol, Azri Ghani (Negeri Sembilan) dan Ahmad Syihan Hazmi (JDT) tidak tersenarai. Di bahagian pertahanan pula, tiga tonggak JDT iaitu Brad Tapp, Syahmi Safari dan La’Vere Corbin-Ong turut tiada dalam senarai.

Bahagian tengah menyaksikan ketiadaan empat nama, iaitu tiga pemain JDT, Manuel Hidalgo, Nathaniel Shio Hong Wan dan Stuart Wilkin, selain Nazmi Faiz dari Kuching City.

Di barisan hadapan, Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi dari JDT serta Faisal Halim, bintang Selangor juga tidak dipanggil. Penyerang naturalisasi berusia 35 tahun, Bergson sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan ketika JDT menentang Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE).

Walaupun berlaku rombakan besar, seramai 11 pemain dikekalkan daripada kejohanan terakhir, termasuk Dion Cools, Paulo Josue, Fergus Tierney, Daniel Ting dan Quentin Cheng yang dijangka menjadi tulang belakang pasukan.