Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di tangga keenam carta Liga Zon Timur AFC Champions League Elite (ACLE) 2026-2027 selepas mengharungi perlawanan keempat menentang Jeonbuk Hyundai pada Selasa.
Skuad Harimau Selatan terpaksa menerima kekalahan pertama dalam kempen kali ini apabila tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan itu menerusi jaringan Bruno Mota dan Italo da Vargas di Stadium Piala Dunia Jeonju.
Keputusan tersebut menyaksikan JDT kekal mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan dengan rekod dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Berdasarkan kedudukan semasa, JDT menghuni tangga keenam dengan kelebihan perbezaan jaringan selepas mencatat enam gol dan bolos tiga gol sepanjang empat aksi yang telah diharungi.
Kedudukan tersebut menyaksikan JDT berkongsi tujuh mata bersama Gamba Osaka, Kashiwa Reysol, Port FC dan Jeonbuk Hyundai yang masing-masing turut mengumpul jumlah mata sama.
Bagaimanapun, Vissel Kobe kini menerajui carta dengan 12 mata selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut, termasuk menewaskan Ratchaburi 3-2 dalam satu lagi aksi pembukaan Matchday 4.
Kashima Antlers pula berada di tangga kedua dengan sembilan mata, diikuti Gamba Osaka di kedudukan ketiga dengan tujuh mata selepas hanya mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Walau bagaimanapun, kedudukan semasa JDT masih boleh berubah memandangkan terdapat enam lagi perlawanan Matchday 4 yang belum berlangsung dan bakal mempengaruhi kedudukan pasukan lain dalam carta Zon Timur.
JDT kini perlu memberikan tumpuan kepada baki empat perlawanan peringkat liga yang masih menanti mereka bagi mengumpul mata tambahan dalam usaha mendapatkan tempat ke pusingan 16 terbaik ACLE musim ini.


