Pencapaian layak ke separuh akhir Malaysia Open 2025 memberi impak positif kepada Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Ini kerana bermula pada minggu hadapan, kedua-dua beregu berkenaan berada dalam kelompok lima beregu campuran terbaik dunia.
Semakan kiraan ranking oleh Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) selepas kejohanan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei akan menduduki ranking ketiga dunia. Soon Huat-Shevon pula akan menghuni kedudukan keempat dunia.
Perubahan ranking terbaru ini dilihat satu pencapaian hebat buat kedua-dua beregu dalam karier badminton mereka.
Tang Jie-Ee Wei turut menjadi beregu campuran negara pertama menduduki ranking ketiga dunia selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melakukannya pada 2012.
Perubahan ranking terbaru ini bakal memberi keyakinan kepada kedua-dua beregu untuk tampil lebih cemerlang dalam saingan India Open 2025.
Sebelumnya, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut ceria meskipun terkandas awal dalam saingan Malaysia Open 2025.
Ini kerana mereka bakal menjadi beregu kedua dunia menjelang saingan India Open 2025. Ini disebabkan juara edisi 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang turut terkandas dalam pusingan kedua.