Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui Selangor FC bakal memberi cabaran sukar kepada anak buahnya untuk aksi minggu keempat Liga Super musim 2024/25.
Sejak pasukan itu dibimbing Nidzam Jamil selepas menggantikan pengendali sebelumnya, Tan Cheng Hoe pada Mac lalu, Selangor menunjukkan prestasi baik dalam Liga Malaysia (Liga M).
Dalam tiga perlawanan Liga M termasuk Piala FA 2024, Selangor menjaringkan sembilan gol. Pemain perancang Venezuela, Yohandry Orozco muncul penjaring terbanyak dengan tiga gol setakat ini.
Sementara benteng pertahanan Merah Kuning diketuai penjaga gol, Samuel Somerville masih tidak melepaskan sebarang gol dalam tempoh sama.
Yusri percaya ini menunjukkan kekuatan yang dimiliki Selangor sebagai satu pasukan. Dengan sokongan padu penyokong yang diterima Merah Kuning di Stadium MBPJ, ini bakal menjadi satu cabaran sukar buat Perak.
“Apa yang kita perlu lakukan adalah macam mana hendak berjuang dalam 90 minit bertemu dengan Selangor. Di mana semua orang maklum masih lagi belum melepaskan jaringan yang dicipta pasukan lawan mereka.
“Jadi, tiga perlawanan yang diharungi, sembilan jaringan (dan) kosong bolos menunjukkan betapa kekuatan mereka,” katanya dalam temubual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Dengan The Bos Gaurus sudah tersingkir dari saingan Piala FA 2024, Yusri mahu anak buahnya bangkit dan mengulangi prestasi cemerlang yang dilakar semasa menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada penghujung Mei lalu.
“Kita juga faham selepas perlawanan liga tempoh hari di (Stadium) Darul Aman, kita berada dalam keadaan yang baik beraksi di tempat lawan.
“Jadi, saya mengharapkan para pemain kekal fokus dan seterusnya cuba mendapatkan jaringan. Atau dalam erti kata lain, cuba mendapatkan mata,” tambahnya.
Perak bakal berkunjung ke Stadium MBPJ untuk menentang Selangor pada petang 23 Jun ini.