Tonggak import skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Habib Haroon tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim pada Isnin.
Sebelum ini, telah timbul desas-desus mengenai perpindahan Habib Haroon yang dikhabarkan bakal berhijrah ke kelab Bahrain, Sitra. Namun begitu, masih belum ada kenyataan rasmi dari pihak KDA FC.
Ketiadaan tonggak import itu juga menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong apakah tindakan dari pihak pengurusan KDA FC dalam melayari baki kempen Liga Super yang masih lagi panjang perjalanannya.
Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebelum ini memberi bayangan bahawa para pemain Kedah kini ditekan dengan masalah di luar padang yang membelenggu mereka.
“Para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang. Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa,” jelas Daud Bakar di laman Facebook rasmi KDA FC.
Kedah kini berada di tangga ke-8 Liga Super dengan mengumpul 8 mata selepas 8 perlawanan yang diharungi. Pasukan yang digelar Sang Kenari ini bakal meneruskan saingan liga dengan bertemu Kuala Lumpur City FC pada 14 September depan.