Tiga kelab yang sangat sinonim di pentas tertinggi Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) disahkan bakal menjadi lawan buat dua kelab Malaysia, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam kejohanan Shopee Cup.
Ketiga-tiga kelab tersebut adalah Buriram United (Thailand), BG Pathum United (Thailand) dan Lion City Sailors (Singapura).
Terengganu dan KL City dipastikan tidak akan bertemu sesama sendiri selepas diletakkan di pot undian yang sama iaitu pot satu. Dalam pot yang sama turut diletakkan dua kelab Thailand iaitu Buriram United dan BG Pathum United.
Berita tersebut telah dikongsikan oleh laman sosial terkemuka Asia Tenggara, Asean Football dalam satu hantaran di laman X.
Kini 10 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dengan Indonesia turut mempunyai dua kelab ke kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu iaitu PSM Makassar dan Borneo FC.
Dua slot terakhir bakal diisi dua pasukan yang memenangi aksi play-off. Empat pasukan bakal berentap dalam pusingan play-off iaitu Kasuka FC (Brunei), Preah Khan Reach Svay Rieng (Kemboja), Young Elephants FC (Laos) dan Shan United (Myanmar).
Kelab yang mengambil bahagian akan dipilih berdasarkan kedudukan kebangsaan mereka pada ranking pertandingan kelab AFC 2022.
12 pasukan yang mengambil bahagian akan dibahagikan kepada dua kumpulan A dan juga B di mana menyaksikan setiap kumpulan mengandungi 6 buah pasukan.