Selangor FC merancang untuk melakukan aksi pra musim dengan 3 negara Asia berkemungkinan menjadi destinasi pilihan.
Musim lalu, Selangor menamatkan saingan di tangga kedua Liga Super yang menyaksikan pasukan Gergasi Merah itu memastikan tempat ke AFC Champions League Two (ACL2) sekali lagi.
Sebagai persiapan awal, Selangor telah melakukan rombakan pemain dengan beberapa tonggak sudah pun mengucapkan selamat tinggal selain turut mengatur sesi pra-musim di luar negara.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, skuadi kendalian Katsuhito Kinoshi ini dijangka bakal ke Australia, Thailand atau Indonesia untuk menjalani sesi pra-musim.
“Saya boleh katakan juga Selangor dijangka menjalani sesi pra-musim (di luar negara) berkemungkinan besar antara negara pilihan adalah Australia, Indonesia dan Thailand,” kata Fadhirul Shuhaimi kepada Nadi Arena.
Untuk rekod, pasukan Selangor sebelum ini pernah menjalani sesi pra-musim di Bangkok dan turun bertemu dua kelab dari Thailand iaitu Samut Prakan City serta pasukan divisyen dua, Ayutthaya United.
Selain itu, Gergasi Merah juga mempersiap pasukan dengan beraksi di kejohanan jemputan Selangor Asia Challenge di Malaysia dan RCTI Premium Sports di Indonesia pada Mei 2024.