Advertisement
Selangor ‘Bantai’ Kelab Thailand, Samut Prakan City 6-0
Asia Tenggara
MakanBola
Azri / MakanBola

Selangor FC memulakan kempen pra-musim mereka di Thailand dengan langkah kanan apabila membelasah Samut Prakan City 6-0.

Keputusan perlawanan ini dikongsikan oleh akaun X, Club Selangor FC bagi membantu peminat Merah Kuning mengetahui keputusan perlawanan hari ini.

Ini merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi musim baru Liga Super yang bermula pada Mei ini.

Samut Prakan yang beraksi dalam saingan Thai League 2 dilihat sukar menyaingi Merah Kuning yang menurunkan dua barisan pemain berbeza dalam setiap separuh masa.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor selesa mendahului 2-0 menerusi sentuhan dua pemain Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal.

Semasa rehat separuh masa, barisan kejurulatihan Selangor membuat pertukaran dengan memasukkan pemain-pemain utama seperti Faisal Halim, Ronnie Fernandez dan Noor Al-Rawabdeh.

Pertukaran tersebut menyaksikan barisan Merah Kuning tampil lebih garang pada babak kedua. Mukhairi menambah gol kedua peribadinya pada babak kedua.

Ini disusuli gol pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim dan dua gol Fernandez. Keputusan 6-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan hari ini dijangka menyuntik moral Merah Kuning untuk tampil lebih cemerlang dalam aksi pra-musim seterusnya di Thailand.