Tiga tonggak Harimau Malaya dijangka melapor diri apabila pasukan itu menjalani latihan di Thailand.
Tiga pemain tersebut ialah Daniel Ting, Dion Cools dan Sergio Aguero. Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Beliau memaklumkan ketiga-tiga pemain ini akan menyertai kem Harimau Malaya di Thailand sebelum terbang ke Vietnam untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027.
“Sesi latihan pertama menyaksikan 25 pemain melapor diri tanpa tiga pemain iaitu Dion Cools, Daniel Ting dan Sergio Aguero.
“Ini kerana ketiga-tiga pemain ini berpangkalan di Thailand. Jadi, ketiga-tiga mereka akan berada di Bangkok bersama skuad kebangsaan pada esok atau lusa sebelum terbang ke Vietnam untuk bertemu dengan lawan mereka itu,” katanya.
Daniel dan Aguero masing-masing mewakili Ratchaburi FC dan Kanchanaburi Power dalam saingan Thai League 1.
Cools pula bakal menyertai kem negara selepas memenuhi komitmen perlawanan bersama kelabnya, Cerezo Osaka. Beliau membantu Cerezo menewaskan Vissel Kobe baru-baru ini.
Harimau Malaya bakal memanfaatkan kemudahan pusat latihan BG Pathum United sebelum menghadapi Vietnam pada 31 Mac ini.