3 tonggak telah membuat keputusan untuk mengangkat kaki dan meninggalkan Kedah Darul Aman.
Skuad kendalian Nafuzi Zain mengejutkan ramai pihak apabila turun beraksi di Cheras berdepan KL City tanpa seorang pun tonggak utama.
Misteri ketiadaan pemain utama pasukan ini diburukkan selepas beberapa pemain sudah mula meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kedua.
Kapten Sang Kenari, Habib Haroon menjadi individu pertama yang meninggalkan negeri jelapang padi apabila menyertai kelab Bahrain, Sitra SC.
Beliau yang memasuki tahun keduanya di Kedah memilih untuk membawa haluan baharu bagi sambungan musim 2024/25.
Pemergian beliau disusuli dengan penghijrahan penjaga gol berbakat, Fikri Che Soh yang memilih untuk pulang ke kampung halaman bersama Kelantan Darul Naim.
Tatkala beberapa tonggak sudah mula meninggalkan pasukan, Kedah terpaksa menelan hakikat perit apabila Selangor telah mengumumkan ketibaan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz.
Pemain berusia 29 tahun itu mengakui berat hati untuk meninggalkan pasukan namun perlu terus berjuang demi karier bola sepaknya.
Beberapa lagi tonggak utama Sang Kenari dijangka menyusuli langkah rakan sepasukan untuk membawa haluan baharu sebelum jendela perpindahan tamat.