Pengendali Kedah, Nafuzi Zain melihat kekalahan di tangan KL City dalam aksi Liga Super sebagai satu pengalaman berguna buat anak-anak buahnya.
Pada aksi tersebut, Kedah yang menampilkan barisan pemain muda terpaksa akur tumpas dengan keputusan 5-0 hasil gol Paulo Josue, Zhafri Yahya, Jovan Motika dan jaringan sendiri.
Menurut Nafuzi, beliau secara peribadi tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi berdasarkan keadaan semasa pasukan Kedah kini.
”Pada malam ini, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana secara realistiknya situasi semasa pasukan amatlah sukar,” ujar Nafuzi selepas perlawanan.
Nafuzi sempat mengucapkan penghargaan buat para pemain muda Sang Kenari yang bersama pasukan di saat getir kini dan menganggap keputusan ini sebagau satu pengalaman buat mereka.
”Terima kasih kerana mewakili KDA (Kedah Darul Aman), jika tiada mereka ini kita mungkin terpaksa memanggil pemain Piala Presiden dan sebagainya.”
”Dari segi persiapan pun kita tiada apa, hanya tiga hari berlatih dan bersyukur jika dapat bawa pulang satu mata.”
“Untuk pertama kali ini, dengan menentang KL City, ini adalah satu pengalaman yang berguna untuk para pemain (Kedah),”
Jadual Liga Super selepas ini menyaksikan Kedah menanti kehadiran Sri Pahang di Alor Setar pada 20 September manakala KL City pula bakal berkunjung ke laman Perak sehari kemudian.