Tiga beregu lelaki Malaysia terus berada dalam kelompok 10 beregu terbaik dunia.
Ini berdasarkan kemas kini ranking terbaru yang dibuat Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) baru-baru ini.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terus unggul selaku beregu kedua terbaik dunia. Mereka diekori Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang menghuni kedudukan keenam dunia.
Selepas jatuh ke ranking kesembilan dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani kembali berada di tangga kelapan dunia.
Pencapaian itu dicapai selepas bekas beregu nombor satu dunia itu muncul juara Indonesia Masters. Menariknya, Izzuddin-Sze Fei juga beregu lelaki Malaysia pertama bergelar juara untuk tahun 2026.
Juara dunia, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dari Korea Selatan terus kekal bertakhta sebagai beregu nombor satu dunia.