Ramai penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terkejut bila mendapat tahu hanya 35 keping tiket perlawanan pasukan itu dan Sri Pahang FC terjual setakat ini.
Angka terbaru jualan tiket berkenaan dikongsikan pengurusan Kedah menerusi satu pengumuman di platform media sosial rasmi pasukan itu.
Sehubungan dengan itu, pengurusan Sang Kenari merayu kepada penyokong agar segera mendapatkan tiket perlawanan. Ini kerana ini bukan sekadar tanda solidariti bersama kelab dalam masa yang sukar.
Malah, setiap pembelian tiket yang dilakukan penyokong Kedah sedikit sebanyak menyuntik aliran tunai dalam kantung kewangan pasukan itu.
“Kehadiran anda tanda solidariti bersama pasukan yang menghadapi saat sukar ketika ini. Dengan membuat pembelian tiket malam esok, aliran tunai kelab sedikit sebanyak menyuntik dana kepada kelab untuk meneruskan kelangsungan dalam perlawanan dan operasi kelab akan datang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik hantaran itu dimuat naik di media sosial, seorang penyokong Kedah bernama Muhd Faris menggesa para penyokong tampil menyahut seruan pasukan.
“Mari kawan-kawan! Masa-masa inilah kita nak sokong kelab,” katanya di ruang komen Facebook Sang Kenari.
Selepas tewas 5-0 kepada KL City FC pada 14 September lalu, Kedah berharap dapat bangkit bila menentang Sri Pahang di Stadium Darul Aman pada 20 September.
Pasukan itu turut mendapat suntikan semangat apabila pemain-pemain skuad senior sudah kembali menjalani sesi latihan sejak beberapa hari lalu.