Mari kita saksikan 4 pemain yang dijangka bakal mencuri tumpuan menjelang pertemuan Malaysia dan juga juara Piala Asia dua kali, Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan E AFC Asian Cup.
1. Lee Kang-in
Pemain sayap Korea Selatan ini telah menampilkan aksi cemerlang dalam dua aksi pertama kumpulan terutamanya ketika menentang Bahrain yang mana beliau meledak 2 gol untuk membantu pasukan meraih kemenangan 3-1.
Pemain berusia 22 tahun itu juga disenaraikan antara lima bintang muda terbaik yang bakal melakukan penampilan di pentas Piala Asia edisi kali ini bersama-sama pemain tonggak muda Jepun, Takefuso Kubo dan pemain sayap muda negara, Arif Aiman.
Kebolehan menggelecek yang dimiliki bintang Paris Saint-Germain (PSG) ini semestinya bakal menjadi senjata utama bagi melepasi kawalan benteng pertahanan negara ketika aksi Khamis ini.
2. Hwang In-beom
In-beom bukanlah nama yang segah seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan mahupun Kim Min-Jae, namun pemain ini berjaya menambat hati Jurgen Klinsmann bagi mengemudi jentera tengah skuad Taeguk Warriors
Beliau diturunkan bagi kedua-dua aksi sebelum ini dan memperoleh rating yng tinggi dari Sofascore selain berjaya menjaringkan satu gol serta satu bantuan gol ketika berdepan Bahrain.
In-beom sudah semestinya bakal diberi tugas khas oleh Klinsmann bagi mengawal kawasan tengah dari dikuasai pemain-pemain-pemain Malaysia.
3. Safawi Rasid
Pemain berusia 26 tahun ini masih diberi kepercayaan oleh Kim Pan-gon untuk dibawa ke Piala Asia bagi menambah sengat jentera serangan negara meskipun beliau tidak kerap beraksi di peringkat domestik musim lalu.
Namun, jangan dilupa, nama Safawi pernah meniti di bibir peminat bola sepak Korea apabila dua jaringan beliau membantu skuad negara menundukkan Korea Selatan 2-1 ketika aksi peringkat kumpulan Sukan Asia 2018.
Menurut laporan terkini daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Safawi Rasid antara yang dipersiap oleh barisan kejurulatihan untuk turun berdepan Korea Selatan nanti.
Sudah semestinya kelincahan dan magis Safawi ditagih Pan-gon dan skuad negara bagi membantu negara melakar kejutan ke atas jaguh Asia itu.
4. Dion Cools
Tunjang benteng pertahanan negara ini sudah semestinya bakal menjadi perhatian ramai selepas mempamerkan disiplin bertahan yang mantap ketika menentang Bahrain Sabtu lalu.
Meskipun tewas, Cools mencatatkan rating 7.0 menurut Sofascore, kedua tertinggi buat skuad negara selepas Dominic Tan.
Pengalaman luas yang dimiliki beliau bakal menjadi pertaruhan pada aksi kali ini memandangkan beliau mempunyai tugas sukar untuk merantai pergerakan Son Heung-min dan rakan-rakan nanti.
Gandingan Cools bersama-sama Shahrul Saad dan Dominic Tan dijangka terus diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan bagi membentuk satu benteng ampuh buat skuad Harimau Malaya.
Aksi skuad negara kendalian Kim Pan-gon berdepan salah satu kuasa bola sepak Asia iaitu Korea Selatan bakal berlangsung di Stadium Al Janoub pada Khamis dengan sepak mula perlawanan bermula jam 7.30 malam waktu tempatan.