Di sebalik aksi tumpuan Nam Dinh vs Selangor pada Rabu, kelibat 5 tonggak sudah tentunya bakal menjadi perhatian peminat.
Perebutan tempat ke final ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup musim ini menemukan Nam Dinh dan Selangor yang bakal turun berentap dalam perlawanan separuh akhir kedua.
Agregat semasa menyaksikan kelebihan memihak kepada Selangor hasil kemenangan penting 2-1 ke atas Nam Dinh dalam aksi timbal balik pertama di Stadium MBPJ minggu lalu.
Perjuangan kedua-dua kelab kini terletak kepada keputusan di atas padang dengan beberapa tonggak dijangka menjadi nadi utama buat pasukan Selangor dan Nam Dinh pada aksi ini.
1- Chrigor Moraes
Kelibat Chrigor Moraes untuk aksi ini pastinya akan dirantai lebih ketat oleh barisan pertahanan lawan selepas prestasi hebat hasil dua gol minggu lalu meranapkan misi Nam Dinh meraih kemenangan.
2- Quentin Cheng
Larian deras Quentin Cheng di sebelah sayap kanan sering kali menjadi mimpi buruk buat Nam Dinh sehingga dua gol yang diraih Selangor terhasil menerusi hantaran silang beliau.
3- Faisal Halim
Walaupun tidak mencetak gol minggu lalu, aksi Faisal Halim berhasil mengucar-kacirkan benteng pertahanan Nam Dinh dan pasti kawalan kemas bakal diberikan terhadap tonggak kebangsaan ini.
4- Nguyen Xuan Son
Nama yang sudah pastinya menjadi tumpuan peminat adalah Xuan Son yang terkenal dengan penyudah berbisa meskipun pemain naturalisasi Vietnam ini gagal mencetak gol di Kelana Jaya minggu lalu.
5- Percy Tau
Tanpa sedar, Percy Tau yang pernah beraksi untuk Brighton di EPL menjadi duri dalam daging yang cukup berbisa pada minggu lalu hingga berjaya menyumbang satu bantuan gol di babak pertama.
Aksi Nam Dinh vs Selangor bakal berlangsung pada Rabu, 13 Mei di Stadium Thien Truong dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 6.30 petang waktu Malaysia.