Pusingan pertama Malaysia Open 2025 bakal menyajikan lima aksi tumpuan membabitkan lima wakil Malaysia.
Saingan pembuka tirai 2025 itu menyaksikan 18 wakil negara mengambil bahagian. Mereka bukan saja merebut hadiah juara sebanyak AS$101,500 (RM454,000/acara perseorangan) dan AS$107,300 (RM480,000/acara beregu).
Malah, ini juga peluang buat wakil negara menamatkan kemarau penampilan di final kejohanan itu sejak Lee Chong Wei pada 2018.
Pusingan pertama saja sudah menyajikan lima aksi menarik buat tatapan peminat badminton negara.
5- Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin vs Dejan Ferdinansyah-Gloria E. Widjaja
Beregu ke-33 dunia, Tien Ci-Chiew Sin bakal berdepan tentangan pilihan kelima kejohanan, Dejan-Gloria. Kelebihan ranking memihak kepada regu Indonesia itu selaku regu nombor lapan dunia.
Meskipun begitu, juara Kazakhstan International 2024 berupaya mencipta kejutan ke atas lawan yang menduduki ranking yang lebih baik. Hal ini dialami beregu Chinese Taipei, Wu Hsuan-Yi-Yang Chu Yun dalam saingan Kaohsiung Masters.
4- Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani vs Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard
Selepas muncul beregu ketiga terbaik dunia, keupayaan Sze Fei-Izzuddin bakal diuji beregu ke-26 dunia, Lundgaard-Vestergaard.
Meskipun ini kali pertama kedua-dua beregu bertemu, beregu Denmark itu memiliki rekod baik dengan beregu Malaysia. Mereka meraih kemenangan sebanyak dua kali dan tewas sekali.
Satu-satunya kekalahan Lundgaard-Vestergaard ialah kekalahan di tangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan Japan Masters 2024.
3- Pearly Tan-M. Thinaah vs Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti
Sejak membuat penampilan pertama dalam edisi 2022, Pearly-Thinaah tidak dapat melangkah jauh melepasi pusingan kedua Malaysia Open.
Ketiadaan beberapa beregu utama dunia seperti Nami Matsuyama-Chiharu Shida dan Chen Qing Chen-Jia Yan memberi kelebihan buat beregu nombor enam dunia itu.
Justeru, aksi menentang Lanny Tria-Siti Fadia dilihat peluang terbaik buat Pearly-Thinaah meraih kemenangan pertama untuk tahun 2025.
2- Leong Jun Hao vs Lu Guang Zu
Jun Hao membuka kempen Malaysia Open 2025 dengan ujian sukar apabila bertemu dengan Lu Guang Zu. Kelebihan memihak pemain China itu selaku pemain nombor 16 dunia.
Meskipun begitu, Jun Hao berupaya mencipta kejutan seperti yang pernah dialami Lakshya Sen, Koki Watanabe, Jonatan Christie dan Kodai Naraoka.
Sekiranya berjaya, Jun Hao bakal bertemu dengan pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi pada pusingan kedua.
1- Lee Zii Jia vs Su Li Yang
Pemain nombor 33 dunia, Li Yang menjadi pencabar pertama Zii Jia untuk tahun 2025. Ramai mengharapkan pemain nombor satu Malaysia itu kembali cergas selepas mengalami kecederaan dalam saingan World Tour Finals 2024.
Seperti Pearly-Thinaah, Zii Jia juga berharap dapat mara lebih jauh selepas terkandas di pusingan pertama edisi 2024.
Aksi ini juga bakal menyaksikan Yeoh Kay Bin membuat kemunculan pertama selaku jurulatih baru beliau. Kay Bin dibawa masuk menggantikan Wong Tat Meng.