Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis ketiadaan 5 tunjang utama pasukan menjelang bagi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 dapat diatasi.
Skuad kebangsaan mengharungi detik yang cukup mencabar dalam misi untuk mara ke pusingan berikutnya susulan ketiadaan beberapa tonggak penting.
Malaysia perlu berdepan Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei dengan barisan sedia ada dengan beberapa pertukaran saat akhir terpaksa dilakukan.
4 pemain terpasa digugurkan dalam senarai awal iaitu Arif Aiman, Faisal Halim, Romel Morales dan juga Azam Azmi.
“Apabila kita mendapat maklumat (Arif Aiman Hanapi) daripada kelab (JDT), buku lalinya mengalami kecederaan. Itu sebab kita tidak memanggil beliau kali ini,” katanya kepada media di Wisma FAM hari ini.
Selain Arif, Harimau Malaya juga terpaksa melupakan beberapa penyerang kebangsaan seperti Faisal Halim, Romel Morales dan Syafiq Ahmad kerana masalah sama.
Situasi sama melanda penyerang Sabah FC, Darren Lok yang dipantau pasukan perubatan dan kini telah diganti oleh Shamie Iszuan.
“Kes (simbahan asid) Faisal Halim, Arif Aiman cedera dan Syafiq Ahmad (alami kecederaan) hamstring. (Romel) Morales (alami kecederaan) buku lali.
“Hari ini, kita masih lihat keadaan hamstring Darren Lok sekali lagi. Jadi, semua pemain serangan (negara) yang hebat terpaksa disisihkan,” tambahnya.
Ketika ini, Pan-gon memberi bayangan untuk mempertaruhkan pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haqimi Azim dan juga Paulo Josue untuk mengetuai jentera serangan negara.