KL City FC bakal memanfaatkan tenaga enam pemain import untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Perkara ini dinyatakan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dalam segmen redONE Mobile Keluar Masuk di Nadi Arena semalam.
The City Boys memilih mengekalkan tiga tonggak import musim 2023 iaitu Sebastian Avanzini, Patrick Reichelt dan Giancarlo Gallifuoco.
Pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu turut membawa masuk tiga pemain import dari rantau Balkan bagi memperkuat cabaran musim 2024/25.
Tiga pemain tersebut ialah Lazar Sajcic (Serbia), Adrijan Rudovic (Montenegro) dan Jovan Motika (Bosnia-Herzegovina).
Menurut Fadhirul, pasukan itu tidak mempunyai perancangan untuk menambah pemain import seperti yang dilakukan pasukan-pasukan lain.
Ini kerana pengurusan KL City melihat sentuhan enam pemain import ini mampu menggalas cabaran pasukan itu dalam Liga M musim ini.
“Saya difahamkan menurut sumber yang saya perolehi, ini saja (pemain import) untuk KL City. Enam orang pemain import yang akan kekal dipertaruhkan untuk KL City musim 2024/25,” katanya kepada pengacara segmen, Azlan Mubin.
Selain enam pemain import, KL City turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain tempatan yang berbakat dan berpengalaman untuk kempen 2024/25.
Antara rekrut baru The City Boys ialah Mahali Jasuli, Brendan Gan, S. Sharvin. Ryan dan Declan Lambert, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Sunil Chandran dan Nick Swirad.
KL City bakal membuka kempen Liga Super dengan menentang Kuching City FC pada 12 Mei ini.