Dengan saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC bakal menjelang tidak lama lagi, kelab-kelab Malaysia mula membuat persiapan mendapatkan Lesen Kelab AFC 2023. Dan hari ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan tujuh pasukan sudah menerima lesen berkenaan.
Tujuh pasukan tersebut ialah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, KL City FC dan Penang FC.
🇲🇾 The Asian Football Confederation (AFC) has announced that 7️⃣ clubs in Malaysia Super League to secure AFC Club License 2023, which would grant them participation in AFC Club Competitions in 2023/24 season.#FAM #MFL pic.twitter.com/DX2mPsj09h
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) June 17, 2023
Sebelum ini, terdapat 11 pasukan yang memohon lesen tersebut. Bagaimanapun, selepas tapisan teliti yang dibuat AFC, hanya tujuh kelab ini yang melepasi semua kriteria lesen berkenaan.
Menerusi Lesen Kelab AFC 2023, tujuh kelab ini dianggap ‘layak’ ke ACL musim 2023-2024. Ini mengiktiraf mereka yang mewakili Liga Malaysia (Liga M) kerana berusaha menjadikan profesionalisme kelab masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.
Ini termasuk mengambil berat soal kebajikan pemain dan staf, pengurusan fasiliti dan pembentukan skuad remaja.
Untuk musim 2023-2024, tiga wakil negara beraksi di peringkat Asia. JDT FC bakal bersaing di peringkat kumpulan ACL dengan Terengganu FC dan Sabah FC pula beraksi dalam saingan Piala AFC.