Penampilan terkini jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia menarik perhatian peminat badminton Malaysia baru-baru ini.
Aaron yang hadir dalam sidang media yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 10 Julai lalu kelihatan lebih kurus berbanding sebelum ini.
Penampilan baru beliau timbul tiga minggu sebelum saingan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bakal membuka tirainya.
Apabila ditanya tentang perubahan fizikal dirinya itu, Aaron mengakui melalui proses penurunan berat badan. Walau bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu memaklumkan beliau hanya mengambil kira maklumat bacaan peratusan lemak daripada berat badan.
“Memang ada (berat badan) turun sedikit, memang makan pun ada kawal sedikit,” katanya kepada media.
Aaron turut memaklumkan penurunan berat badan yang dialaminya bukan bersifat drastik. Sebaliknya, proses tersebut sudah berlaku secara beransur-ansur sepanjang tahun 2024.
Ramai peminat badminton negara berharap penampilan terbaru beliau dapat membantunya dan rakan gandingan, Soh Wooi Yik mengulangi pencapaian meraih pingat dalam temasya Sukan Olimpik.
Aaron-Wooi Yik meraih pingat gangsa dalam temasya Sukan Olimpik 2020 menerusi acara beregu lelaki. Mereka mengatasi cabaran regu veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan keputusan 21-19, 21-14.
Aaron-Wooi Yik menjadi antara sandaran kontinjen Malaysia untuk memburu kilauan pingat emas pertama Sukan Olimpik.