Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik masih memerlukan masa untuk beradaptasi dengan corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih beregu negara, Herry Iman Pierngadi.
Perkara ini dinyatakan beliau apabila ditanya media tentang persiapan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menghadapi beberapa kejohanan pada Mac ini.
Herry melihat Aaron-Wooi Yik masih memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai tahap yang dimahukan beliau.
Pada masa sama, bekas jurulatih beregu Indonesia itu percaya beregu lelaki nombor dua Malaysia itu mampu mengakhiri kemarau kejuaraan All England Open untuk acara beregu lelaki.
“Kalau (peluang Aaron-Wooi Yik bergelar juara All England Open), peluang itu ada. Tapi pada hemat saya, tempoh persiapan masih belum mencapai tahap maksimum lagi.
“Kerana Soh Wooi Yik dan Aaron masih lagi beradaptasi dengan program-program (yang dirangka) saya. Mereka perlukan masa lagi agar mereka menjadi lebih baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Selepas ini, Aaron-Wooi Yik bakal bersaing dalam dua kejohanan Eropah iaitu Orleans Masters 2025 dan All England Open 2025.
Kali terakhir beregu negara muncul juara All England Open ialah tahun 2007 menerusi Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong.