Aaron Chia-Wooi Yik Tempah Tiket Final Malaysia Open
UltraSukan
BA Malaysia

Bekas juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum menempah tiket final Malaysia Open 2026.

Aaron-Wooi Yik mara dengan menewaskan beregu nombor enam dunia, Fajar Alfian dan Shohibul Fikri di Axiata Arena.

Selepas berjaya membalas dendam ke atas Sabar Kayaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani, fokus beregu nombor satu negara itu kini beralih kepada Fajar-Shohibul.

Aksi ini dilihat peluang buat beregu Indonesia itu membalas dendam kepada Aaron-Wooi Yik. Ini kerana mereka tewas kepada beregu nombor dua dunia itu dalam saingan World Tour Finals (WTF) 2025.

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-dua beregu terikat pada kedudukan 17-17.

Pada akhirnya, Aaron-Wooi Yik berjaya mendahului juara China Open 2025 itu sebelum menang dengan keputusan 23-21.

Set kedua menyaksikan pada awalnya, Fajar dan Shohibul mendahului beregu negara pada kedudukan 11-9. Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 12-12.

Juara Asia itu kemudiannya mendahului pada kedudukan 16-12. Kedudukan itu terus dipertahankan sebelum menang dengan keputusan 21-18.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu juara dunia dan pilihan utama kejohanan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae di pentas final.

Beregu Korea Selatan itu mara dengan menyingkirkan wakil England, Ben Lane dan Sean Vendy dalam satu lagi aksi separuh akhir.