Advertisements
Abdi Hassan: Jeonbuk Hyundai Ada Dua ‘Pasukan’ Yang Kuat
ACL
MakanBola
Selangor FC

Pengendali interim Selangor FC, Abdi Hassan percaya pasukan itu bakal berdepan cabaran sukar daripada Jeonbuk Hyundai Motors untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ini kerana beliau melihat pasukan yang dibimbing Kim Do-heon itu mampu menampilkan dua pasukan berbeza tetapi masih mampu memberi cabaran hebat di atas padang.

Abdi merujuk kepada aksi ketiga Kumpulan H membabitkan Selangor dan Jeonbuk yang berlangsung pada 23 Oktober lalu. Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Olwan membantu Selangor menewaskan Jeonbuk 2-1.

Selain aksi berkenaan, barisan kejurulatihan The Red Giants turut melihat aksi terbaru Jeonbuk dengan Incheon United dalam aksi terbaru K-League 1. Aksi tersebut berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Kewujudan dua pasukan ini menyukarkan Selangor untuk menelah siapa yang bakal diberi kepercayaan oleh Do-heon untuk aksi keempat Kumpulan H.

Atas sebab itu, Abdi memilih mempersiapkan barisan pemain The Red Giants bagi memastikan mereka bersedia dengan pasukan mana yang akan diturunkan Jeonbuk di Stadium Piala Dunia Jeonju.

“Ya, ia satu minggu yang mencabar dari segi perlawanan yang kita tempuhi. Minggu lepas kita ada perlawanan (menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Sabtu dan kita menang. Kemudian, tumpuan beralih pula kepada Jeonbuk.

“Sudah tentu kita sudah melihat aksi terakhir mereka (dengan Incheon United), mereka seri 0-0. Dan ya, mereka memiliki dua pasukan yang sangat bagus. Jadi, kita tidak boleh kata kita akan menentang pasukan yang sama atau kita akan menentang pasukan yang lain.

“Pasukan yang kita hadapi di Selangor (untuk) aksi di tempat sendiri juga cukup bagus. Jadi, mereka juga bijak memanfaatkan peluang menentang kita. Dan kita bersedia untuk dua pasukan ini dan pemain-pemain berbeza yang kita lihat untuk (perlawanan) esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan Jeonbuk-Selangor.

Meskipun berdepan cabaran sukar daripada Jeonbuk, prestasi semasa dilihat memihak Selangor. Ini kerana Jeonbuk kini berdepan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan termasuk ACL2.

Selangor turut diperkuatkan dengan kehadiran semula Ronnie Fernandez. Ini selepas penyerang Chile itu tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan sebelumnya atas sebab taktikal.

Dua pasukan teratas Kumpulan H itu bakal berentap buat kali kedua di Stadium Piala Dunia Jeonju pada 7 November ini.