Aksi pembukaan Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan pertembungan antara pasukan Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum dari Thailand.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Munsu, Korea Selatan berakhir dengan kemenangan dimiliki pasukan tuan rumah, Ulsan Hyundai.
Pengendali BG Pathum, Thongchai Sukkoki turun mempertaruhkan Teerasil Dangda dan Seegeev di bahagian serangan sementara Ulsan Hyundai, menurunkan import Hungary, Martin Adam sebagai penyerang tunggal dibantu sayap, Lee Chung-yong.
Babak separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-1. Ulsan Hyundai terlebih dahulu mendahului menerusi ledakan Martin Adam pada minit ke-28 permainan sebelum jaringan Ryhan Stewart menutup tirai babak pertama perlawanan buat BG Pathum mengikat Ulsan Hyundai.
Bersambung aksi babak kedua, anak buah Hong Myung-bo terus menerus mengasak. Percaturan pengendali Ulsan Hyundai ini menjadi apabila dua jaringan tercatat sekali lagi menerusi penyerang prolifik mereka, Martin Adam.
Perlawanan tamat, Ulsan Hyundai 3-1 BG Pathum United.
Perlawanan seterusnya menyaksikan pasukan Ulsan Hyundai bakal bertemu wakil Jepun, Kawasaki Frontale sementara BG Pathum bakal melayan kunjungan wakil dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim pada Selasa, 3 Oktober 2023.