Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting terlepas peluang membantu kelabnya, Ratchaburi mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini selepas pasukan itu tewas kepada wakil Jepun, Gamba Osaka dalam aksi suku akhir kedua yang diadakan di Stadium Ratchaburi.
Selepas terikat 1-1 dalam aksi suku akhir pertama di Osaka, kedua-dua pasukan memburu kemenangan untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Roque Mesa berada di bangku simpanan Ratchaburi. Bekas penyerang Djurgaden, Deniz Hummet mengetuai jentera serangan Gamba.
Separuh masa pertama menyaksikan Gamba berusaha mencari gol awal menerusi Hummet, Ryoya Yamashita, Issam Jebali dan Ryotaro Mishino.
Situasi ini memaksa penjaga gol tuan rumah, Kampol Pathomakkakul berusaha menafikan percubaan Gamba merobek gawang Ratchaburi.
Gawang The Dragons akhirnya bocor pada minit ke-29 menerusi percubaan deras bek tengah Gamba, Genta Miura.
Situasi ini mendorong jurulatih Ratchaburi, Worrawoot Srimaka memasukkan Adison Promrak menggantikan Sidcley empat minit selepas itu.
Ratchaburi berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Worrawoot memasukkan Mesa sebagai pemain gantian untuk menambah kemantapan jentera tengah tuan rumah.
Ratchaburi akhirnya meraih gol penyamaan menerusi Gleyson pada minit ke-50. Beliau menyudahkan hantaran Daniel yang menewaskan penjaga gol Gamba, Masaaki Higashiguchi.
Tuan rumah kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti selepas pemain Gamba menjatuhkan pemain pertahanan Harimau Malaya itu dalam kotak penalti. Malangnya, penalti Denilson Junior pada minit ke-66 berjaya dinafikan Higashiguchi.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol kemenangan menyaksikan keputusan 1-1 kekal selepas 90 minit. Ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan 30 minit.
Pemain gantian, Welton kembali meletakkan Gamba di hadapan pada minit ke-99. Pemain berusia 28 tahun itu membuat satu rembatan lencong yang menewaskan Kampol.
Ratchaburi cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Satu lagi slot pasukan Timur akan ditentukan menerusi suku akhir kedua antara Tampines Rovers dan Bangkok United.
Sofascore memilih Kampol sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.3. Daniel pula mendapat markah 7.0 selepas menunjukkan prestasi baik sepanjang perlawanan.
Kini, fokus Ratchaburi ialah memburu slot tempat kedua Thai League 1 menjadi milik mereka. Ini kerana slot tersebut menawarkan kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan.