Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting membantu Ratchaburi meraih kelebihan berharga ke atas Persib Bandung dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kedua-dua pasukan memburu kelebihan gol menjelang aksi timbal balik di Bandung pada 18 Februari ini.
Daniel membuat penampilan pertama di pentas ACL2 bersama The Dragons. Bekas kapten Perak FC, Luciano Guaycochea menjadi nadi kreatif Pangeran Biru.
Babak pertama menyaksikan Ratchaburi memburu gol awal menerusi gandingan kapten, Jakkaphan Kaewprom, Tana, Denilson, Gleyson dan Negueba.
Hasilnya, Tana membuka tirai jaringan buat tuan rumah seawal minit kelima. Percubaan pemain tengah berusia 35 tahun itu menewaskan penjaga gol Persib, Teja Paku Alam.
Ratchaburi terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-16 dengan memasukkan Kevin Deeromram. Kevin dibawa masuk menggantikan Sidcley yang mengalami kecederaan.
Persib berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, giliran Kevin pula digantikan Gabriel Mutombo. Ini selepas bekas pemain pertahanan Selangor FC itu mengalami kecederaan pada babak pertama.
Mutombo menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-53. Bekas pemain Troyes itu menyudahkan hantaran Jakkaphan yang menewaskan Teja.
Situasi ini mendorong jurulatih Persib, Bojan Hodak segera membuat tiga pertukaran. Adam Alis, Saddil Ramdani dan Sergio Castel menjadi taruhan bekas jurulatih KL City FC itu di bahagian serangan.
Percaturan Hodak gagal membuahkan hasil dengan Ratchaburi menyumbat gol ketiga pada minit ke-84. Tana sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Persib dengan menyumbat gol kedua peribadinya.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Persib perlu menyumbat sekurang-kurangnya empat gol dalam aksi timbal balik di Bandung jika ingin mara ke suku akhir ACL2.
Tana dipilih pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7 oleh Sofascore. Daniel pula mendapat markah 7.2 kerana cemerlang di bahagian pertahanan.