Advertisement
ACL2: Harith Haiqal Ketuai Selangor Hadapi Jeonbuk Hyundai
ACL
MakanBola
Selangor FC

Pertahanan muda, Harith Haiqal mengetuai barisan pemain Selangor pada aksi ketiga AFC Champions League 2 (ACL2) bertemu Jeonbuk Hyundai.

Skuad kendalian Nidzam Jamil turun dengan motivasi tinggi setelah meraih 4 mata dalam dua aksi terdahulu meskipun kehilangan rentak apabila diikat seri bertemu PDRM Sabtu lalu.

Gergasi Merah juga bakal berdepan cabaran juara Liga Korea 9 kali ini tanpa 2 kapten pasukan, iaitu Safuwan Baharuddin dan Noor Al Rawabdeh yang masing-masing mengalami isu kecederaan.

Oleh itu, Nidzam Jamil telah menyerahkan mandat sebagai ketua pasukan kepada bek muda Harimau Malaya, Harith Haiqal untuk mengetuai barisan Selangor di laman sendiri.

Harith berusia 22 tahun bergandingan bersama pertahanan import dari Uzbekistan, Umar Eshrumodov bagi membentuk benteng kebal dengan misi mengekang asakan hebat dari Jeonbuk.

Musim ini menyaksikan Harith kerap kali mendapat tempat di Selangor dengan mencatat 15 penampilan dalam kesemua kejohanan selain turut menyumbang satu gol buat Gergasi Merah.

Prestasi cemerlang ditampilkan bek skuad B-23 kebangsaan ini membolehkan beliau dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Pau Marti dan mendapat kaps pertama ketika bertemu New Zealand tempoh hari.

Aksi Selangor vs Jeonbuk Hyundai bakal berlangsung pada Rabu, 23 Oktober di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.

Saksikan pertembungan hangat Selangor bertemu Jeonbuk Hyundai: Di sini.