Kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors tidak berdepan masalah besar dengan mudah menundukkan kelab Filipina, DH Cebu dalam aksi Kumpulan H Asian Champions League Two (ACL2) pada Khamis.
Jeonbuk membariskan pemain-pemain berkualiti di dalam kesebelasan utama dengan pemain kelahiran Ghana, Nana Boateng menjadi enjin utama di tengah padang. Manakala DH Cebu pula meletakkan tiga tonggak dari Jepun iaitu Chima Uzoka, Ryoo Togashi dan Masaya Kobayashi dalam kesebelasan utama.
Jeonbuk yang beraksi sebagai tuan rumah memulakan aksi dengan sangat positif apabila mendominasi permainan secara total.
Penguasaan penuh Jeonbuk di awal permainan nyata membuahkan hasil apabila mereka di hadapan seawal minit ke-6 melalui sepakan penalti yang disudahkan Lee Seung-woo untuk meletakkan Jeonbuk 1-0 di hadapan.
Penguasaan menyeluruh terus dipamerkan Jeonbuk di hadapan ribuan penyokong sendiri sekali gus memaksa pemain-pemain DH Cebu berkampung di kawasan sendiri.
Pemain sayap lincah Jeonbuk, Jeon Byung-kwan memberi keseronokan buat penyokong yang hadir apabila pemain berusia 22 tahun itu meledak jaringan kedua buat Jeonbuk.
Biarpun mendahului dengan dua gol, Jeonbuk tidak menurunkan tempo permainan dengan dilihat selesa menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran yang tepat.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, DH Cebu membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Daniel Bernan Gadia dan Zamoranho Carliho dalam usaha mereka mencari jaringan.
Pemain gantian Jeonbuk, Jeon Jin-woo tidak perlu menunggu lama untuk menyerlah dalam perlawanan ini apabila pada minit ke-52, beliau mencipta nama sebagai penjaring untuk mengubah kedudukan menjadi 3-0.
Dominasi Jeonbuk nyata tidak dapat dihalang oleh barisan pemain DH Cebu yang hanya terus membiarkan pengusaan permainan memihak tuan rumah.
Kemasukan Jeon Jin-woo nyata menambah bisa buat Jeonbuk apabila acap kali gerakannya membuatkan pertahanan DH Cebu hilang arah.
Pemain kebangsaan Korea Selatan, Song Min-kyu menambah derita buat DH Cebu apabila pada minit ke-73 beliau menyempurnakan bantuan daripada Jeon Jin-woo untuk jaringan keempat Jeonbuk.
Serangan demi serangan terus dilancarkan Jeonbuk ke kubu DH Cebu dengan penjaga gol Florencio Badelic antara pemain yang sibuk dalam perlawanan ini.
Kedudukan 4-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memberikan tiga mata bermakna buat Jeonbuk untuk terus memimpin Kumpulan H dengan 12 mata. Manakala DH Cebu kekal di tangga tercorot dengan hanya mengumpul 1 mata.