ACL2: Kuching City Jelaskan Sebab Pilih Stadium Larkin
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kuching City memperjelaskan sebab memilih Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor Bahru atau Stadium Larkin sebagai gelanggang tuan rumah The Cats bagi aksi ACL 2 musim 2026/27 pada Rabu.

Pengurusan Kuching City juga memahami keinginan barisan pemain, jurulatih dan penyokong kelab tersebut untuk menyaksikan aksi ACL 2 berlangsung di negeri Sarawak.

“Kuching City FC memahami segala persoalan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan penyokong berhubung penggunaan nama Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor Bahru atau Stadium Larkin sebagai gelanggang tuan rumah Kuching City FC bagi saingan AFC Champions League Two (ACL Two) 2026/27.”

“Untuk makluman semua, Stadium Larkin telah dinamakan sebagai gelanggang alternatif sekiranya terdapat keperluan untuk memastikan perlawanan Kuching City FC dalam pertandingan peringkat Asia dapat berlangsung sekiranya venue utama yang dinamakan, iaitu Stadium Taha Ariffin, masih belum memperoleh kelulusan AFC pada tarikh yang ditetapkan.”

“Pada ketika ini, kerja-kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin sedang dijalankan bagi memenuhi segala keperluan dan piawaian AFC. Kami yakin semua usaha sedang digerakkan untuk memastikan stadium berkenaan bersedia digunakan pada tempoh yang ditetapkan.”

“Sehubungan itu, penamaan Stadium Larkin sebagai gelanggang alternatif pada ketika ini bukan bermaksud Kuching City FC akan meninggalkan Kuching atau berpindah secara kekal ke Johor bagi keseluruhan kempen ACL Two. Sebaliknya, ia merupakan langkah perancangan dan persediaan bagi memastikan kelab mempunyai pilihan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada jadual atau tempoh kerja-kerja menaik taraf stadium.”

“Kami memahami keinginan para penyokong, pemain, barisan kejurulatihan serta seluruh warga Sarawak untuk menyaksikan Kuching City FC beraksi di bumi sendiri. Perlawanan di laman sendiri sememangnya menjadi impian dan salah satu keutamaan utama kami sebagai sebuah kelab.”

“Sebagai sebuah kelab yang membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas Asia, kami mahu pengalaman beraksi di hadapan penyokong sendiri menjadi satu kenangan yang bermakna. Hasrat utama kami adalah untuk beraksi di Kuching dan memberikan persembahan terbaik kepada seluruh penyokong.”

“Namun begitu, dalam masa yang sama, kami turut mempunyai tanggungjawab untuk membuat persediaan bagi setiap kemungkinan lebih awal. Penyediaan gelanggang alternatif bukanlah tanda kita berundur, sebaliknya merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan penyertaan dan persiapan pasukan tidak terjejas sekiranya berdepan sebarang cabaran di peringkat Asia.”

“Buat masa ini, kami akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada proses menaik taraf Stadium Taha Ariffin dan menantikan pemeriksaan serta keputusan daripada AFC selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan.”

“Kuching City FC dijadualkan beraksi di laman sendiri pada 15 Oktober 2026. Perkara ini turut mengukuhkan keyakinan kami bahawa Stadium Taha Ariffin akan bersedia untuk menjadi gelanggang ‘home’ Kuching City FC sepanjang kempen AFC Champions League Two 2026/27.”

“Kami berharap para penyokong kekal tenang dan terus memberikan sokongan serta berada di belakang pasukan. Kami akan terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan semua perlawanan ‘home’ Kuching City FC dapat dilangsungkan di Stadium Taha Ariffin,” kata Iswandi Ali Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC pada Rabu di laman media sosial milik kelab.

Kuching City berada dalam Kumpulan H bersama-sama Gangwon FC (Korea), Kitchee SC (Hong Kong), Phnom Penh Crown FC (Kemboja) bagi saingan ACL 2 musim 2026/27.