Kuching City Sasar Pusingan 16 ACL2
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC menetapkan sasaran untuk mara ke peringkat pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini.

Sasaran itu digariskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandi Ali Hassan apabila ditanya tentang sasaran pasukan untuk saingan ACL2.

Meskipun berstatus pendatang baharu dalam saingan berkenaan, beliau melihat sasaran itu boleh dicapai dengan mengambil kira kualiti pemain baharu yang dibawa untuk musim 2026/27.

“Kita anggap semua perlawanan yang kita lalui umpama final bagi kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Insya Allah dengan kualiti pemain-pemain baru yang kita ambil, berdasarkan pengalaman mereka ada, Kuching City mampu layak ke pusingan 16.”

Kuching City layak beraksi di peringkat kumpulan ACL2 dengan status selaku naib juara Liga Super musim lalu. Mereka berada dalam Kumpulan H bersama Kitchee FC, Phnom Penh Crown dan Gangwon FC.

The Cats turut membawa masuk ramai tonggak berkualiti bagi memperkuatkan cabaran musim ini terutama untuk saingan ACL2. Antaranya Ajdin Mujagic, Gabriel Peres, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid dan Dylan Wenzel-Halls.

Kuching City turut memilih Stadium Larkin sebagai gelanggang rasmi pasukan itu untuk saingan ACL2.